Silap identiti mayat tahanan, KDN bayar pampasan kepada keluarga

Silap identiti mayat tahanan, KDN bayar pampasan kepada keluarga

PAMPASAN akan dibayar kepada keluarga seorang tahanan yang disalah maklum mengenai kematiannya hingga keluarga berkenaan hampir membakar mayat rakan sel tahanan terbabit baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memberi jaminan beliau sendiri akan menyerahkan pampasan terbabit kepada keluarga berkenaan dalam tempoh terdekat.

Beliau memberi jaminan itu kepada M Kula Segaran (PH-Ipoh Barat) selepas ditanya sama ada Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membayar pampasan kepada keluarga itu yang membelanjakan RM20,000 untuk kos pengebumian.

“Atas perbelanjaan yang telah dikeluarkan keluarga (itu), saya sendiri akan bayar pampasan itu…tiada isu, Yang Berhormat boleh maklumkan (keluarga) esok pun boleh (saya) sampaikan.

“Sebab dia dah buat persiapan. Tak adil untuk dia (keluarga). Bukan anak dia yang meninggal. Mungkin dia datang dari keluarga susah, belanja RM20,000 itu besar.

“Jadi, saya akan selesaikan dalam kurang 48 jam, boleh Yang Berhormat tolong sampaikan,” katanya di Dewan Rakyat yang meminta Kula memaklumkan keluarga terbabit.

Ahad lalu, media melaporkan sebuah keluarga di Negeri Sembilan terkejut mendapat tahu anak lelaki mereka, yang dimaklumkan meninggal dunia ketika ditahan di Penjara Sungai Buloh pada 28 Feb lalu, masih hidup.

Keluarga itu berkata, mereka menerima panggilan telefon dari Jabatan Penjara memaklumkan anak mereka, yang dikatakan sudah meninggal dunia dan mayatnya hampir dibakar, sebenarnya masih hidup.

Menjelaskan mengenai insiden berkenaan, Saifuddin berkata keluarga tahanan berkenaan sebelum menuntut mayat terbabit telah dipanggil ke Hospital Sungai Buloh untuk membuat pengecaman.

“Apa yang berlaku, ketika pihak penjara membuat semakan tahanan di penjara, ‘si mati’ itu muncul dan mengesahkan belum mati. Kesilapan identiti itu kemudian segera disahkan.

“Walaupun keluarga buat pengecaman iaitu satu proses penting dan hanya selepas proses itu selesai baru boleh bawa pulang mayat tahanan.

“Tetapi mungkin sebab proses bedah siasat…dulu ada rambut sekarang tiada rambut yang menyulitkan keluarga kenalpasti mayat itu,” jelasnya.

Beliau mengakui ada elemen kecuaian dan kelemahan sistem dalam insiden berkenaan, maka satu Jawatankuasa Lembaga Siasatan serta-merta ditubuhkan untuk melakukan siasatan tanpa sebarang kompromi dalam aspek kecuaian. – Malaysiapost

Komen