Surat RoS: Isham bidas kenyataan Khairy

Surat RoS: Isham bidas kenyataan Khairy

KETUA Penerangan Umno, Isham Jalil membidas kenyataan Khairy Jamaluddin yang mempersoalkan keabsahan surat tular didakwa dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS)

Menurutnya, walaupun beliau sendiri tidak pernah membaca surat berkenaan namun, kandungan surat itu dilihat tidak jelas dan banyak tafsiran.

“Pada hemat saya, menteri bagi surat mengatakan pengecualian (daripada pematuhan Seksyen 13(1) (iv) Akta 832) itu sebab kalau surat RoS itu betul, banyak perkara yang kita boleh dipertikai. Nombor satu kenapa RoS kata hal (usul) itu tidak teratur.

“Kalau dia (Khairy) tahu undang-undang, dalam Malaysia ini ada satu dokumen undang-undang nama dia Perlembagaan Malaysia, dalamnya Perkara 10 menyatakan kebebasan berpersatuan.

“Maksudnya setiap pertubuhan dan persatuan itu adalah bebas serta berhak untuk menentukan keputusan dan hala tuju perjalanan masing-masing,” katanya dalam video di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda Umno mempersoal mengenai surat tular daripada RoS berkait usul tambahan Perhimpunan Agung Umno (PAU) supaya dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan.

Katanya, jika surat yang tular itu benar, bermakna usul dibawa perwakilan Negeri Sembilan ketika PAU lalu adalah tidak sah.

Menurut Khairy, perlembagaan Umno sendiri telah menetapkan bahawa jawatan-jawatan utama termasuk Presiden dan Timbalan Presiden hendaklah dipilih setiap tiga tahun sekali.

Sementara itu, Isham berkata, sekiranya Umno membawa satu usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden itu tidak dipertandingkan maka, mereka boleh bawa usul itu kepada ahli-ahli untuk menentukan sama ada sesuatu keputusan itu sah atau tidak.

“Yang boleh menentukan perkara ini adalah Perhimpunan Agong UMNO (PAU), sebab memang betul Majlis Tertinggi boleh buat keputusan tetapi yang lebih tinggi daripada Majlis Tertinggi itu adalah PAU sebab perwakilannya lebih ramai.

“Bila kita bawa ke PAU, kita ada (bukti) video semua, senarai perwakilan telah dihantar ke RoS dan 90 peratus daripada mereka telah berdiri.

“Pengerusi tetap pun telah bertanya siapa yang tidak bersetuju, ada yang tidak bersetuju juga tetapi beberapa kerat sahaja, saya rasa tidak sampai dalam 30 orang daripada 30,000 orang dalam dewan itu,” katanya lagi.

Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) kepada Umno berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun ini.

Sebelum ini, usul tambahan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan Umno akan datang dicadangkan perwakilan dari Negeri Sembilan, Mohd Shukri Samsudin. – Malaysiapost

Komen