Umno sedia jadi kerajaan bersama PH di Selangor

Umno sedia jadi kerajaan bersama PH di Selangor

UMNO membayangkan untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Meskipun tidak menyatakan secara jelas, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno dan Barisan Nasional (BN) akan membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) di Selangor jika menang PRN.

“Kemeriahan pemilihan ini saya harap tidak menenggelamkan kemerian PRN negeri yang akan diadakan

“Kita akan berusaha agar Umno dan BN negeri Selangor menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri yang akan terbentuk selepas PRN Insya-Allah.

“Mungkin itulah sebabnya ramai yang menawarkan diri (bertanding dalam pemilihan),” katanya pada sesi memperkenalkan calon-calon Pemilihan Umno 2023 di Shah Alam, malam ini

Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), BN bekerjasama dengan PH, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan membentuk kerajaan persekutuan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Komunikasi PH Fahmi Fadzil, sebelum ini dilaporkan berkata, rundingan pembahagian kerusi menjelang PRN di enam negeri antara PH, BN dan parti lain dalam kerajaan perpaduan akan diumum sebelum hujung bulan depan.

Katanya, ia mungkin diumum lebih awal kerana rundingan secara rasmi mengenai pembahagian kerusi di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan sudah berlangsung “agak lama”.

Jelasnya, rundingan berjalan lancar di setiap negeri ketika ini dan hasilnya akan dibawa ke Sekretariat Kerajaan Perpaduan untuk dimuktamadkan sebelum diumumkan. – Malaysiapost

Komen