Umno tidak perlu pemimpin duri dalam daging – Ahmad Zahid
PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, barisan kepimpinan Umno mesti dibarisi pemimpin di kalangan ahli yang setia dan tidak menyerang parti itu setelah menang pada pemilihan parti kali ini.
“Kita tidak mahu calon yang menang menyucuk kembali parti kita, menyerang kita.
“Kita tidak mahu ada duri dalam daging, kita tidak mahu ada gunting dalam lipatan,” katanya ketika berucap pada majlis memperkenalkan calon-calon Pemilihan Umno 2023 peringkat negeri Selangor di Shah Alam, malam ini.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, calon-calon yang bertanding juga perlu menang atas kebolehan dan keupayaan diri sendiri, bukan ditaja oleh pihak-pihak tertentu yang mahu memecah belahkan Umno.
“Jangan kemenangan kita disebabkan oleh tarian-tarian yang dicipta oleh dalang dalang di belakang.
“Kita mesti menang atas kebolehan kita, bukan ditunjuk oleh orang luar.
“Pertandingan ini antara kita, sedarah daging. Biarpun ada parti-parti luar sibuk campur dengan parti Umno,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, calon-calon yang menang dalam Pemilihan Umno akan dapat membantu pucuk kepimpinan mengemudi parti itu nanti.
“Saya mahu siapa pun yang dipilih nanti di peringkat negeri mahu pun peringkat nasional bantu saya, bantu tok mat dalam memperkukuhkan hala tuju parti kita,” katanya. – Malaysiapost