Usah terpengaruh kumpulan gugat kerajaan – Ahmad Zahid

Usah terpengaruh kumpulan gugat kerajaan – Ahmad Zahid

AHLI Umno termasuk calon yang bertanding dalam pemilihan parti diingatkan tidak terpengaruh dengan kumpulan yang mahu menggugat pentadbiran kerajaan pada masa ini.

Sehubungan itu, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, meminta ahli Umno membuat pilihan terbaik untuk memilih calon bertanding bagi mengukuhkan parti.

Menurutnya, beliau juga tidak mahu ada dalam kalangan calon pada pemilihan parti itu yang bertindak mendukung parti lain dan mengenepikan perjuangan Umno.

“Saya harap pilihlah calon-calon terbaik dalam kalangan yang baik-baik yang dapat membantu mengukuhkan parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, tokoh-tokoh yang dapat bersama-sama dengan kepimpinan untuk terus memperkasakan Umno dan pertahankan kerajaan yang ada.

“Kita tidak mahu ada dalam kalangan calon-calon yang bergerak kononnya untuk mengugat kerajaan yang ada, kononnya untuk membawa ‘en-bloc’ Umno bagi mendokong parti lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi pengenalan calon bertanding pemilihan Umno di Kota Kinabalu, malam tadi.

Timbalan Perdana Menteri itu berharap mereka yang telah mencalonkan diri adalah terdiri daripada yang benar-benar komited untuk memperkasakan Umno di semua peringkat.

Pada masa sama, beliau mengingatkan calon supaya patuh kepada peraturan pemilihan, kerana setakat ini didapati ada calon yang telah hilang kelayakan sebelum tiba hari pemilihan.

Menurutnya, Jawatankuasa Pemilihan mempunyai hak untuk membatalkan kemenangan, dan ahli Umno diharap memahami peraturan yang telah ditetapkan.

“Saya dapat tahu daripada Lembaga Disiplin bahawa ada laporan yang telah sampai kepada mereka jadi, jangan sampai ada yang hilang kelayakan. Walaupun menang, Jawatankuasa Pemilihan berhak untuk membatalkan kemenangan itu.

“Namun, saya yakin calon akan patuhi peraturan dan fahami apa yang diterapkan dalam peraturan pemilihan parti,” katanya. – Malaysiapost

Komen