29 Ahli Parlimen Bersatu tak hadir sidang Dewan Rakyat

29 Ahli Parlimen Bersatu tak hadir sidang Dewan Rakyat

KESEMUA 29 Ahli Parlimen Bersatu termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak menghadiri persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Perkara itu disahkan Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang juga Ahli Parlimen Machang.

Menurutny, ia sebagai tanda sokongan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hadir memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Tambah Wan Ahmad Fayhsal, beliau juga tidak akan hadir pada persidangan pada sebelah petang.

Selain Ahli Parlimen Bersatu, beberapa wakil daripada PAS juga dilaporkan memberi sokongan kepada Muhyiddin selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Ia antaranya, Ahli Parlimen Kubang Kerian yang juga Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman.

Beberapa Ahli Parlimen daripada PAS yang kelihatan di dewan ialah Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas), Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (Pasir Puteh) dan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang).

Terdahulu, SPRM mengesahkan Muhyiddin akan didakwa di mahkamah esok.

Ia berkaitan kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Sementara itu, ketika sesi penggulungan usul Belanjawan 2023 oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, Teresa Kok (PH-Seputeh) bangkit mencelah dengan bertanyakan ke mana ‘ustaz-ustaz’ pergi yang merujuk kepada Ahli Parlimen PAS.

“Ini ustaz tidak bertanggungjawab,” katanya yang membangkitkan jumlah kuorum tidak mencukupi 26 Ahli Parlimen.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor, kemudiannya menyatakan hanya seramai 25 Ahli Parlimen berada dalam dewan.

“Tidak cukup… hanya 25 orang, saya akan tekan loceng,” katanya.

Namun sesi penggulungan diteruskan tanpa sempat loceng dibunyikan selepas kuorum kembali kepada 26 Ahli Parlimen. – Malaysiapost

Komen