3 didakwa berpakat rompak duit sendiri

3 didakwa berpakat rompak duit sendiri

Ben Ibrahim

TINDAKAN tiga lelaki berpakat merompak duit sendiri berjaya dikesan polis Kuantan.

Ketiga-tiga suspek dipercayai melakukan jenayah itu pada 14 Februari lalu di kawasan letak kereta berhampiran sebuah bank di Jalan Beserah, dekat Kuantan.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata suspek berusia antara 41 tahun hingga 68 tahun itu sudah didakwa di mahkamah Kuantan semalam.

“Tangkapan terhadap suspek dibuat susulan siasatan berkaitan video tular kejadian rompakan di Jalan Beserah, bulan lalu.

“Dalam video itu terdapat seorang lelaki dikatakan disamun dua suspek menaiki motosikal mengakibatkan kerugian RM150,000.

“Siasatan lanjut kemudiannya mendapati kejadian rompakan itu dirancang oleh ‘mangsa’ dan dua lagi rakan subahatnya,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata, rancangan itu dibuat suspek untuk merompak wang milik bersama rakan kongsi ‘mangsa’ dan kejadian itu berlaku dalam tempoh beberapa minit sahaja.

“Dalam kejadian itu seorang suspek berpura-pura menjadi ‘mangsa’ dan wang tunai terbabit disalahgunakan oleh semua suspek,” katanya lagi.

Beliau berkata, semua suspek yang didakwa di mahkamah Kuantan semalam sudah dibebaskan dengan ikat jamin RM4,000 seorang dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Mac ini.

“Suspek yang menjadi ‘mangsa’ didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan (KK), manakala dua lagi suspek didakwa mengikut Seksyen 109 KK Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 403 KK,” katanya. – Malaysiapost

Komen