Anwar tak campur tangan kes Muhyiddin
DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tidak campur tangan kes Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dipercayai berhubung kes salah guna dana kerajaan.
Perdana Menteri berkata, perkara berkenaan di bawah bidang kuasa agensi terbabit.
“Itu tengok kes. Saya tidak campur tetapi saya beritahu semua agensi termasuk SPRM dan Peguam Negara, untuk tengok kes.
“Jadi orang setuju tak setuju, (kena) tengok kes. Apa pendakwaannya, apa pertuduhannya.
“Belum tahu apa keputusan setakat ini, … (Muhyiddin) hanya dipanggil,” katanya selepas merasmikan Festival Taman Kuala Lumpur 2023, hari ini.
Beliau mengulas mengenai Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pagi ini.
Muhyiddin dipanggil untuk memberi keterangan selepas beberapa pemimpin tertinggi Bersatu disiasat dan ada yang dituduh di mahkamah atas dakwaan menyeleweng dana kerajaan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, tidak benar untuk pihak tertentu mengatakan semua kes membabitkan pemimpin parti adalah bermotifkan politik.
“Untuk mengatakan semua kes yang kita ambil itu ada motif politik, maknanya tak bolehlah nak tangkap? Semua kes-kes rasuah yang besar-besar, semua kita lepas?.
“Sebab itu saya kata kena lihat dulu ada kes atau tidak. Ini urusan SPRM. Sampai sekarang saya tidak tahu apa akhirnya,” katanya.
Justeru, Anwar menegaskan, semua rakyat yang mahu negara ini bersih dan bebas rasuah, harus melihat kes terbabit satu persatu, sama ada benar pendakwaan politik atau berdasarkan fakta.
“Yang saya sebut selama ini, Jana Wibawa, tebatan banjir, itu berdasar dokumen Kementerian Kewangan, bukan SPRM atau Jabatan Peguam Negara,” katanya. – Malaysiapost