Armand dakwa perwakilan Pemuda Umno diugut

Armand dakwa perwakilan Pemuda Umno diugut

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah mendakwa perwakilan Pemuda diugut supaya mengundi calon Ketua Pemuda Umno pilihan parti.

Beliau yang juga calon Ketua Pemuda Umno mendakwa, perwakilan di seluruh negara telah dihubungi menerusi telefon oleh wakil pemimpin parti sejak semalam.

Menurutnya, mereka diberi tekanan dan diugut supaya mengundi calon ditetapkan parti bagi jawatan nombor satu sayap pergerakan Umno.

“Kepada kepimpinan Pemuda Umno seluruh negara, jangan takut dengan ugutan, tekanan yang anda terima sejak semalam.

“Kita nak pilih barisan pemimpin, masa depan parti. Apabila mereka ‘call’ anda sebab apa, renung-renungkanlah.

“Dalam hati anda tahu siapa yang layak memimpin pergerakan Pemuda Umno Malaysia,” katanya dalam video yang dimuat naik di Facebook, hari ini.

Justeru, beliau meminta perwakilan tidak gentar dengan tekanan dan ugutan berkenaan serta tekad memilih calon yang dirasakan layak memimpin Pergerakan Pemuda Umno.

“Jangan risau dengan ugutan. Kita Pemuda harus ada pendirian dan ketetapan. Lawan,” katanya.

Empat calon sudah mengesahkan pencalonan masing-masing bagi merebut jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan kali ini.

Selain Armand Azha, calon lain ialah bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah merangkap Ahli Parlimen Paya Besar; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau.

Turut bertanding atas tiket sama ialah Meor Hassan Mat Ali. – Malaysiapost

Komen