Hasil jualan tiket di Stadium Sultan Ibrahim disalur kepada mangsa banjir
KESEMUA jualan tiket perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim sehingga akhir Ramadan akan disalurkan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir di Johor.
Perkara itu dititahkan Tunku Mahkota Johor yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini.
Ia melibatkan perlawanan Liga Super menentang Kelantan (11 Mac), Sabah (31 Mac), Kedah (9 April) dan perlawanan Piala FA bertemu PDRM (14 April).
“Kesemua dana akan disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir melalui pejabat-pejabat daerah di Johor,” kata Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards menerusi hantaran di Facebook Johor Southern Tigers. – Malaysiapost