Kadar OPR kekal 2.75% – BNM
JAWATANKUASA Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) yang bermesyuarat hari ini, memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.
BNM dalam satu kenyataan, hari ini memaklumkan pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.
“MPC akan terus menilai kesan pelarasan OPR secara kumulatif memandangkan kesan sela masa (lag effect) dasar monetari terhadap ekonomi.
“MPC terus berwaspada terhadap faktor kos yang boleh menjejaskan prospek inflasi, termasuk faktor yang disebabkan oleh perkembangan pasaran kewangan,” menurut kenyataan itu.
Menurut BNM, langkah seterusnya untuk mengembalikan tahap akomodasi dasar monetari ke tahap yang wajar akan ditentukan oleh keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
“MPC akan terus menetapkan dasar monetari yang mengimbangi risiko inflasi dalam negeri dan pertumbuhan yang mampan,” katanya.
BNM memaklumkan, ekonomi Malaysia berkembang kukuh sebanyak 8.7 peratus pada tahun 2022, didorong oleh perbelanjaan sektor swasta dan awam yang pulih susulan pembukaan semula ekonomi sepenuhnya.
“Selepas menunjukkan prestasi yang kukuh pada tahun 2022, ekonomi dijangka menjadi sederhana pada tahun 2023 berikutan ekonomi global yang lebih perlahan,” katanya.
Menurut BNM lagi, pertumbuhan akan terus didorong oleh permintaan dalam negeri dan perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh prospek pekerjaan dan pendapatan yang terus bertambah baik.
“Ketibaan pelancong dijangka terus bertambah lantas menggiatkan lagi aktiviti berkaitan pelancongan. Projek infrastruktur berbilang tahun yang terus dilaksanakan akan menyokong aktiviti pelaburan.
“Risiko pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca daripada pelaksanaan projek yang dinyatakan dalam pembentangan semula Belanjawan 2023 baru-baru ini,” katanya.
Menurutnya, risiko prospek pertumbuhan ekonomi dalam negeri menjadi perlahan terus berpunca terutamanya daripada perkembangan global termasuk pertumbuhan sebenar yang lebih lemah daripada jangkaan atau keadaan kewangan global yang lebih ketat dan tidak menentu.
“Inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka menjadi sederhana sepanjang tahun 2023 tetapi akan kekal tinggi berikutan faktor permintaan dan kos yang berlarutan.
“Tahap tekanan inflasi yang meningkat akan terus dibendung sebahagiannya oleh kawalan harga dan subsidi bahan api sedia ada serta lebihan kapasiti dalam ekonomi yang masih ada,” katanya. – Malaysiapost