Kedudukan Muhyiddin dalam Bersatu, PN diputuskan selepas pendakwaan
TAN Sri Muhyiddin Yassin akan memutuskan mengenai kedudukannya sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) selepas pendakwaan di mahkamah.
“Tunggulah, saya belum didakwa, nanti kita akan buat keputusan dan kita akan umumkan,” katanya dalam sidang media selepas selesai merakam percakapan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di Putrajaya hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu ditanya sama ada akan melepaskan jawatannya dalam Bersatu dan PN susulan bakal menghadapi tujuh pertuduhan salah guna kuasa dan rasuah membabitkan projek Jana Wibawa dan pelepasan cukai Yayasan Al-Bukhary.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, memaklumkan beliau akan didakwa oleh SPRM di Mahkamah Kuala Lumpur esok dan di Mahkamah Shah Alam, pada Isnin depan.
Beliau dijangka akan berdepan pertuduhan mengikut Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Ditanya mengenai proses rakaman percakapan yang mengambil masa kira-kira sembilan jam, hari ini, Muhyiddin berkata ia memakan masa yang lama kerana pegawai SPRM menjalankan tugas dengan teliti serta berhemah.
“Tiada tekanan dan saya hargai kerjasama pegawai SPRM,” katanya.
Sementara itu, ditanya kemungkinan berlaku rusuhan oleh penyokong beliau susulan pendakwaan dihadapinya, Muhyiddin berkata PN dan Bersatu adalah parti yang aman, manakala penyokongnya sedar rusuhan bukan tindakan betul ketika rakyat berdepan cabaran ekonomi.
“Ia bukan tentang Muhyiddin sebaliknya adalah tentang Bersatu dan PN. Mereka tahu bagaimana mahu menjaga sekuriti dan keselamatan rakyat,” katanya. – Malaysiapost