Khalid pernah beri pandangan, Anwar kata mahu kecilkan Jemaah Menteri

Khalid pernah beri pandangan, Anwar kata mahu kecilkan Jemaah Menteri

BEKAS menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata beliau pernah menyampaikan pandangan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, keperluan Wilayah Persekutuan diterajui seorang menteri.

Menurut pemimpin Parti Amanah itu, perkara tersebut disampaikan beliau ketika
pembentukan Jemaah Menteri.

Beliau berkata, Perdana Menteri memaklumkan, beliau mahu “mencuba” dalam usaha mengecilkan saiz Jemaah Menteri berbanding pentadbiran sebelum ini.

“Saya sudah menyampaikan pandangan kepada Perdana Menteri sejak pembentukan Kabinet. Namun beliau nak mencuba. Saya hormat keinginannya untuk mencuba dulu,” katanya memetik laporan FMT.

Khalid adalah Menteri Wilayah Persekutuan ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau kemudian digantikan oleh Tan Sri Annuar Musa selepas kerajaan PH tumbang dan diganti kerajaan PN dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, beliau bimbang kerana dalam usaha kerajaan untuk berjimat, tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan rugi besar dari segi kecekapan.

Ini kerana katanya, memandangkan ia boleh dianggap sebagai sebuah negeri yang sedang pesat membangun.

“Menidakkan Kementerian Wilayah Persekutuan adalah tidak tepat. Walaupun kita mencapai sedikit penjimatan, kita hilang kecekapan dan keberkesanan.

“Akhirnya kita rugi dan ia mungkin melebihi keuntungan dari penjimatan tadi,” tambahnya.

Kementerian Wilayah Persekutuan kini dikenali sebagai Jabatan Wilayah Persekutuan dengan pentadbirannya diletakkan bawah Jabatan Perdana Menteri.

Bekas Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata seperti juga sebuah negeri yang memerlukan menteri besar atau ketua menteri, Wilayah Persekutuan harus ditadbir seorang menteri.

“Wilayah Persekutuan boleh dianggap sebagai sebuah negeri. Ia negeri yang paling pesat membangun.

“Ia perlu diurus oleh seorang menteri dan timbalan menteri yang dibantu oleh kementeriannya,” kata Khalid. – Malaysiapost

Komen