Masjid platform perpaduan, bukan gelanggang politik

Masjid platform perpaduan, bukan gelanggang politik

MASJID dan surau perlu kekal fungsinya sebagai platform yang menyatu-padukan semua pihak tanpa mengira parti politik.

Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama Umno, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menegaskan itulah matlamat sebenar kewujudan masjid dan surau.

Menurutnya, politik adalah sebahagian Islam yang mana para alim ulama akan berbicara mengenai politik Islam di mana-mana sahaja.

“Bagaimanapun, politik kepartian tidak wajar dipromosi di tempat yang menjadi milik bersama pelbagai ahli parti sehingga menimbulkan keresahan pihak-pihak yang berbeza.

“Parti-parti politik adalah platform bagi pelbagai ijtihad politik yang berbeza,” katanya menerusi Facebook.

Jelas bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu, parti politik bersaing untuk mendapat kuasa, namun yang mencantumkan mereka ialah persaudaraan Islam.

“Bezakan antara politik Islam dan politik kepartian,” katanya.

Sebelum ini, beberapa negeri melarang ahli politik memberi ceramah dan kuliah agama di masjid atau surau bagi memelihara kesucian rumah ibadat itu. – Malaysiapost

Komen