Menteri ada kuasa batal keputusan pegawai – Anwar
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahan keputusan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi pengecualian kepada Umno berhubung usul tambahan dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan.
Menurutnya, Saifuddin Nasution mempunyai kuasa mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan seharusnya perkara itu tidak timbul isu.
“Ia dalam peruntukan undang-undang. Ada kuasa RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) yang kemukakan kepada menteri. Ada kuasa menteri. Biar menteri jelaskan dan menteri sudah jelaskan.
“Dalam kerja saya di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan, ada kalanya saya ‘override’ (mengatasi) keputusan pegawai.
“Umpamanya dulu pegawai diarah untuk beri kontrak ikut rundingan terus. Saya ‘override’, saya fikir lebih baik kita guna proses tender terbuka supaya lebih telus,” katanya.
Sebelum ini, Khairy Jamaludin yang juga bekas Ketua Pemuda Umno menyifatkan kenyataan dikeluarkan Saifuddin Nasution untuk menggunakan kuasanya dalam pengecualian undang-undang terhadap Umno menunjukkan parti itu ternyata melanggar Akta Pertubuhan.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berkata, Akta Pertubuhan 1966 diluluskan oleh Parlimen dan sekiranya mahu ia dipinda, perkara itu seharusnya diserahkan kembali kepada Parlimen.
Menteri Dalam Negeri memberi pengecualian kepada Umno mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 berhubung pemilihan parti itu.
Perhimpunan Agung Umno 2022 meluluskan usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertanding dalam pemilihan bulan ini. – Malaysiapost