Menteri tidak wajar ‘override’ peraturan sedia ada

Menteri tidak wajar ‘override’ peraturan sedia ada

MENTERI mempunyai kuasa di bawah akta tertentu termasuk membatalkan (override) peraturan sedia ada, namun ia bukan bermaksud boleh digunakan sewenang-wenangnya, kata Datuk Dr Radzi Jidin.

Ahli Parlimen Putrajaya yang memegang portfolio Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi bagi Jawatankuasa Portfolio Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu berkata, kuasa yang diberi perlu digunakan dengan cermat dan penuh teliti.

“Kenyataan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) seperti laporan media ini nampaknya boleh memberi mesej yang salah dan menyimpang kepada penjawat awam dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Dalam konteks tertentu, Menteri mempunyai kuasa di bawah Akta. Namun bukan bermaksud kuasa itu boleh digunakan sewenang-wenangnya.

“Kuasa yang diberi perlu digunakan dengan cermat dan penuh teliti, termasuk mendapatkan pandangan daripada pengurusan tertinggi kementerian daripada pelbagai sudut, khususnya tatacara dan perundangan,” katanya di Facebook, hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan media membabitkan kenyataan Anwar yang mengatakan tidak salah untuk ‘override’ sesuatu keputusan.

Kenyataan Perdana Menteri itu merujuk kepada tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang didakwa bercanggah dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung Pemilihan Umno 2023.

Saifuddin, kelmarin meluluskan usul tambahan yang dibuat Umno dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 lalu agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan kali ini.

Radzi berkata, walaupun dalam keadaan terdesak sekalipun, menteri tidak wajar ‘override’ peraturan sedia ada semata-mata kerana ada kuasa.

“Apatah lagi apabila nasihat yang diberikan penjawat awam adalah berdasarkan fakta dan analisa yang cermat dan teliti.

“Amat sukar untuk penjawat awam menjalankan tugas dengan cekap dan berkesan dalam keadaan sebegini.

“Pemimpin kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional sering melaungkan tentang tata kelola yang baik tapi hakikat sebenar amat menyedihkan,” katanya. – Malaysiapost

Komen