Muhyiddin berdepan 6 pertuduhan esok
BEKAS Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dijangka akan berdepan enam pertuduhan membabitkan empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua kesalahan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur esok.
Laporan Harian Metro yang memetik sumber mengesahkan Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu akan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Beliau turut akan didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA).
Terdahulu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dilaporkan tiba di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 11.18 pagi tadi bagi memberi keterangan dipercayai berkaitan kes salah guna dana awam bagi Program Jana Wibawa.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki dilapor mengesahkan Muhyiddin akan didakwa di mahkamah esok.
Pada 20 Februari, SPRM memaklumkan seorang pemimpin kanan sebuah parti politik berstatus Ahli Parlimen dan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat, ditahan berhubung kes Jana Wibawa.
Sehari kemudian, bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta.
Pada hari sama, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, dihadapkan di mahkamah sama atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek Jana Wibawa.
Kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua tuduhan yang dihadapi. – Malaysiapost