Pendakwaan terpilih bertujuan melumpuh, menghancurkan Bersatu dan PN – Muhyiddin

Pendakwaan terpilih bertujuan melumpuh, menghancurkan Bersatu dan PN – Muhyiddin

BEKAS Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan beliau disiasat dan akan didakwa di mahkamah esok membabitkan dua kes iaitu projek Jana Wibawa dan pelepasan cukai kepada Yayasan Al-Bukhary.

Menurut Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, beliau akan didakwa dengan tujuh pertuduhan di Mahkamah Kuala Lumpur, esok dan Mahkamah Shah Alam pada Isnin depan.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  telah membangkitkan dua perkara, satu ialah projek Jana Wibawa dan kedua ialah rayuan pembatalan cukai oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary,” katanya dalam sidang media selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, sebentar tadi.

Menjelaskan mengenainya, Muhyiddin berkata Jana Wibawa adalah projek semasa pandemik Covid-19 untuk membangunkan semula ekonomi negara khususnya untuk menyelamatkan kontraktor bumiputera yang akan jatuh bankrap.

“Sedihnya ini dijadikan modal politik seolah-olah ini adalah satu skim untuk mencuri wang negara.

“Menggunakan fitnah ini SPRM telahpun membekukan akaun bank Bersatu untuk saya fikir membawa kesan buruk, menghancurkan Bersatu dan ini bagi kami jahatnya sesuatu fitnah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh, berkata SPRM sepatutnya mengetahui daripada semua keterangan yang diambil bahawa tidak berlaku sebarang salah guna kuasa atau perbuatan merasuah.

“Saya telah menegaskan bahawa saya tidak melakukan apa-apa kesalahan di bawah undang-undang. Saya bukan pihak yang mempunyai kuasa untuk meluluskan sebarang projek kerajaan.

“Kuasa melulus adalah dalam bidang kuasa Kementerian Kewangan (MOF). Saya sekadar melaksanakan keputusan Kabinet yang menghendaki Pejabat Perdana Menteri memanjangkan permohonan projek untuk dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan mengikut syarat dan peraturan yang berkuatkuasa.” tegasnya.

Beliau juga menegaskan tidak pernah memberi arahan atau mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh MOF, selain tidak pernah berjumpa mana-mana kontraktor-kontraktor yang mendapat projek dan tidak pernah menerima wang daripada mereka.

Muhyiddin berkata, perkara kedua adalah membabitkan rayuan pembatalan cukai membabitkan rayuan pembatalan cukai daripada Yayasan Al- Bukhary yang dinaungi oleh Syed Mokhtar.

“Yayasan Al-Bukhary menjalankan kerja-kerja amal dan kebajikan khususnya membangunkan Islam dan membantu umat Islam. Atas semua itu yayasan ini diberikan kelulusan pengecualian cukai oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) tertubuh dan Menteri Kewangan daripada DAP Lim Guan Eng telah membatalkan pengecualian cukai yang telah diluluskan kepada Yayasan Al-Bukhary itu,” katanya.

Muhyiddin berkata, semasa beliau menjadi Perdana Menteri, Syed Mokhtar telah membuat rayuan atas pembatalan tersebut dan beliau telah meminitkan “Sila teliti rayuan ini, sekiranya teratur saya tiada bantahan”.

“Itu minit saya. Ia bukan satu arahan ataupun kelulusan. Jadi rayuan telah dipertimbangkan oleh MOF dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan kemudiannya mereka yang meluluskan, bukan saya yang meluluskan.

“Oleh sebab minit saya itu, saya kini didakwa menyalahgunakan kuasa saya,” katanya.

Beliau berkata, jika ada sumbangan daripada Syed Mokhtar, ia adalah sumbangan politik yang dimasukkan terus ke akaun Bersatu dan bukan akaun peribadinya dan beliau tidak menerima walau satu sen pun untuk kegunaan sendiri.

“Jika Tan Sri Syed Mokhtar juga ingin memberi sumbangan kepada Bersatu sebagai parti yang memperjuangkan dasar-dasar yang baik untuk orang Melayu dan negara, di mana salahnya?” soalnya.

Muhyiddin berkata, semua penjelasan itu diberikan kepada pihak SPRM, tetapi telah ada arahan daripada pihak yang ‘paling berkuasa’ dalam pentadbiran negara supaya beliau didakwa sebagaimana yang dilihat hari ini

“Jadi walau apapun penjelasan yang saya berikan saya tetap akan didakwa.

“Kesimpulannya daripada dua perkara itu mereka telah menjadikan tujuh pertuduhan ke atas saya. Tujuannya adalah untuk memalukan saya dengan mengheret saya ke mahkamah esok.

“Pendakwaan terpilih ke atas saya ini adalah satu tindakan politik yang berniat jahat yang dilakukan oleh PH dan BN semata-mata untuk melumpuh dan menghancurkan Bersatu dan PN,” katanya.

Muhyiddin mendakwa keadaan itu berlaku kerana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedar bahawa PN mendapat sokongan padu daripada rakyat terutama orang Melayu dan bumiputera.

“Saya yakin dan percaya Anwar, PH dan parti-parti yang bersekongkol dengannya akan dihukum dalam pilihan raya yang akan datang ini.

“Saya menegaskan bahawa saya tidak bersalah dan saya akan menjawab segala pertuduhan terhadap saya di mahkamah nanti,” katanya. – Malaysiapost.

Komen