Penyokong Bersatu, PN diseru adakan solat hajat

Penyokong Bersatu, PN diseru adakan solat hajat

MENJANGKAKAN Tan Sri Muhyiddin Yassin akan ditahan hari ini dan didakwa di mahkamah esok, semua penyokong Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) seluruh negara diseru untuk mengadakan solat hajat dan bermunajat.

Seruan dibuat oleh Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang turut bersolidariti dengan bekas Perdana Menteri itu yang kini sedang memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, solat hajat akan di Pusat Tarbiyyah Pas Pusat, Taman Melewar, malam ini.

“Solidariti untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bangunan SPRM Putrajaya bersama rakan-rakan daripada PN. Insya-Allah malam ini akan diadakan solat hajat di Pusat Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar.

“Penyokong Bersatu dan PNdi seluruh negara turut diseru untuk bersama-sama solat hajat dan bermunajat di tempat masing-masing. Semoga Allah kurniakan keselamatan buat negara kita,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu Muhyiddin yang juga Pengerusi PN dan Ahli Parlimen Pagoh dilaporkan tiba di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 11.18 pagi tadi.

Beliau hadir bagi memberi keterangan dipercayai berkaitan kes salah guna dana kerajaan membabitkan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki dilapor mengesahkan Muhyiddin akan didakwa di mahkamah esok. – Malaysiapost

Komen