PN mampu tadbir Selangor
PERIKATAN Nasional (PN) bakal menawarkan kepimpinan dan penggerak yang berpengalaman untuk menerajui Selangor jika memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Bendahari Pas Pusat, Datuk Iskandar Abdul Samad, yakin dengan kemampuan PN kerana kebolehan pemimpinnya yang sudah terbukti selama 10 tahun mentadbir Selangor yang maju dan berbilang kaum.
“Sebagai bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, saya yakin PN berupaya memacu Selangor ke arah yang lebih gemilang jika dapat mentadbir negeri ini selepas Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi.
“Saya yakin PN akan menawarkan program-program yang dinanti-nantikan oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Iskandar berkata, program seperti pemberian air percuma bagi 20 meter padu untuk semua rakyat dan bantuan RM2,500 kepada waris di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) merupakan satu nikmat kepada rakyat Selangor.
“Saya yakin rakyat Selangor akan menikmati kesejahteraan dan kemakmuran di bawah Kerajaan Negeri PN dengan inisiatif-inisiatif yang memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat, ekonomi, keadilan sosial, dan peluang-peluang pekerjaan,” katanya. – Malaysiapost