Politik drakonian, kuku besi tidak lagi relevan – Pas Perak
TINDAKAN menangkap pimpinan politik pembangkang dan menghadapkan mereka atas tuduhan yang direka cipta adalah politik tidak bertamadun, tegas Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.
Menurutnya, perkembangan politik semasa memperlihatkan budaya politik tidak bertamadun yang telah lama dilupakan rakyat, cuba dihidupkan semula kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah sekarang.
“Menyekat kebebasan media dan aspirasi politik anak muda adalah tindakan “barbarian” moden. Ini semua adalah terjemahan daripada kegusaran dan kegerunan kerajaan terhadap penolakan dan kekecewaan rakyat terhadap kegagalan kerajaan.
“Tindakan menangkap pimpinan politik pembangkang dan menghadapkan mereka atas tuduhan yang direkacipta adalah politik tidak bertamadun.
“Plot drama ini dilihat secara jelas apabila Perdana Menteri mengeluarkan tuduhan demi tuduhan sejak hari pertama memasuki pejabat rasmi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, tindakan itu bercanggah dengan kebebasan hak asasi manusia yang menjadi slogan perjuangan PH ketika menjadi pembangkang.
“Hak asasi manusia kini hanya bersifat kebebasan yang melampaui teras dan prinsip islam namun tidak untuk suara kebenaran menegur kerajaan.
“Suara suara rasis terhadap Melayu dan islam seperti mendapat perlindungan sebaliknya kebebasan mengkritik kerajaan dipasung dan dipenjarakan,” katanya.
Menurutnya, Pas Perak menyeru kerajaan yang ada sekarang agar bersifat matang dan menumpukan usaha membangunkan negara.
“Tindakan sebagai pembangkang dalam keadaan berkuasa hanya akan menimbulkan ketidakstabilan politik negara.
“Segala tindakan zalim dan menekan suara rakyat hanya akan meningkatkan suhu politik negara yang sememangnya sudah tidak menentu,” katanya.
Beliau berkata, rakyat sedang memerhati situasi yang berlaku, begitu juga Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), masing-masing mempunyai aspirasi perjuangan politik yang bersama kebangkitan rakyat.
“Perubahan politik boleh berlaku pada bila-bila masa melalui jalan demokrasi yang terbuka. Jangan jadikan politik balas dendam sebagai bayangan perjalanan politik terhadap kekecewaan lampau.
“Ini semua tidak baik untuk masa depan rakyat dan negara,” katanya. – Malaysiapost