Rafizi nak ‘provoke’ pembangkang, bukan mahu berbahas – Wan Fayhsal
MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli hadir ke Dewan Rakyat bukan untuk berbahas, sebaliknya melakukan provokasi terhadap Ahli Parlimen pembangkang.
Perkata itu dinyatakan Ahli Parlimen Machang dari Perikatan Nasional (PN) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menerusi hantaran di Facebooknya.
“Menteri Ekonomi datang bukan berbahas tapi nak provoke pembangkang.
“Peluang untuk bincang pembangunan terbantut sebab sikap beliau yang ponggah,” katanya.
Semalam Ahli Parlimen Pendang dari PN, Awang Solahuddin Hashim diarah keluar dewan dan ‘direhatkan’ selama dua hari.
Ia selepas beliau didakwa menganggu sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat oleh Rafizi apabila mencelah beberapa kali walaupun tidak diberi ruang.
Keputusan dibuat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul selepas keadaan semakin tidak terkawal apabila Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menggelarnya ‘badut’.
Rafizi bagaimanapun menarik semula perkataan itu selepas diminta Johari.