Sah Muhyiddin ditahan, akan didakwa di mahkamah esok

Sah Muhyiddin ditahan, akan didakwa di mahkamah esok

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menahan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Dalam satu kenyataan, SPRM memaklumkan tangkapan itu dibuat pada jam 1 tengah hari tadi di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas Presiden Bersatu itu hadir untuk dirakam percakapan.

Menurut SPRM, percakapan Muhyiddin dirakam bagi melengkapkan proses siasatan akhir berhubung projek Jana Wibawa dan isu berkaitan.

“Sehubungan itu, SPRM juga telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh Muhyiddin di Mahkamah Kuala Lumpur pada 10 Mac 2023 (esok).

“Muhyiddin bakal menghadapi beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta SPR) 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya.

Terdahulu Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Ahli Parlimen Pagoh dilaporkan tiba di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 11.18 pagi tadi.

Media kemudian melaporkan bekas Perdana Menteri itu dijangka akan berdepan enam pertuduhan, membabitkan empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua kesalahan pengubahan wang haram.

Pada 20 Februari, SPRM memaklumkan seorang pemimpin kanan sebuah parti politik berstatus Ahli Parlimen dan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat, ditahan berhubung kes Jana Wibawa.

Sehari kemudian, bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta.

Pada hari sama, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, dihadapkan di mahkamah sama atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek Jana Wibawa.

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua tuduhan yang dihadapi. – Malaysiapost

Komen