“Saya bangsa sebuah negara bernama Malaysia” – Tun M

“Saya bangsa sebuah negara bernama Malaysia” – Tun M

“YA, nenek moyang saya dari India. Tapi saya tak gelar diri saya India Malaysia. Saya Melayu di dalam erti kata bahasa pertuturan saya Melayu dan budaya saya juga Melayu,” tegas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Perlembagaan menyatakan Melayu ialah seseorang yang bertutur bahasa Melayu, mengamal adat dan budaya Melayu serta beragama Islam.

Dr Mahathir menegaskan, beliau memenuhi semua syarat itu, begitu juga beratus ribu orang lain yang berasal dari Timur Tengah, India, Pakistan, Bangladesh, Turkiye dan Afghanistan yang diterima sebagai Melayu di negara ini.

“Mereka tidak menggelar diri mereka Arab Malaysia atau Pakistan Malaysia dan sebagainya. Tetapi orang Cina dan India di Malaysia bertegas untuk bertutur dalam Bahasa Cina dan India. Sebelum ini mereka bertutur dialek daerah asal mereka.

“Tetapi apabila China menjadikan Mandarin sebagai bahasa kebangsaan, orang Cina di Malaysia juga turut beralih kepada Mandarin. Sehinggakan nama mereka juga ditukar untuk ikut Cina di China.

“Masyarakat India di India tolak bahasa kebangsaan. Mereka bertutur bahasa daerah mereka. Dan India di Malaysia juga mengekalkan bahasa daerah-daerah di India,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau mengulas mengenai Timbalan Ketua Menteri ll Pulau Pinang Dr P Ramasamy yang dikatakan tersinggung dengan kenyataannya yang masih membezakan keturunan pendatang dari China dan India sebagai “orang asing”.

Menurutnya, bukan beliau yang membezakannya tetapi mereka sendiri memilih untuk dikenal sebagai pendatang asing dan dikenal sebagai Cina Malaysia atau India Malaysia, manakala orang Melayu memang dikenali sebagai orang Malaysia. .

Beliau berkata, masyarakat Cina dan India di Malaysia juga bertegas untuk diadakan sekolah mereka tersendiri, mengguna Mandarin dan bahasa India sebagai bahasa arahan.

“Mereka tolak sekolah kebangsaan di mana Bahasa Kebangsaan Malaysia, Bahasa Melayu diguna. Sehinggakan cadangan mengadakan ketiga-tiga buah sekolah di dalam satu kampus juga ditolak.

“Budaya masyarakat Cina dan India mengikut negara asal China dan India. Sambutan Tahun Baru juga adalah Tahun Baru China dan India,” katanya.

Dr Mahathir berkata, di Malaysia tiada tekanan mengenai penukaran agama, tetapi bahasa dan budaya haruslah mengikut budaya Malaysia, iaitu Melayu, sebaliknya Cina Malaysia bertutur bahasa Mandarin dan India dialek daerah asal mereka.

“Saya tidak suka sentuh berkenaan kaum Cina dan India Malaysia dan sikap talam dua muka mereka. Tetapi Ramasamy kerap tuduh saya perkauman.

“Saya ulang yang saya bukan perkauman. Saya bangsa sebuah negara bernama Malaysia. Saya ada hak ke atas sebahagian daripada kekayaan negara ini, negara saya,” katanya.

Dr Mahathir mendakwa, Ramasamy yang sebenarnya rasis yang menentang Melayu kerana tidak mahu mereka mendapat sedikit pun bahagian di dalam negara ini. – Malaysiapost

Komen