Shahaniza mahu bawa suara wanita dalam MKT Umno
KETUA Umno Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin mahu mengetengah serta menguatkan lagi suara wanita dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Beliau yang menawarkan diri bertanding jawatan MKT Umno berkata, pencalonan golongan wanita dalam pemilihan kali ini pastinya menambah suara kaum hawa agar lebih lantang dalam MKT supaya tidak ketinggalan dalam dasar-dasar parti pada masa akan datang.
“Tetapi golongan lelaki ini saya lihat bukan memilih berdasarkan gender, tetapi kredibiliti seseorang calon itu sendiri.
“Jadi kita walaupun sebagai seorang wanita, apabila menawarkan diri bermain di gelanggang pemimpin lelaki, mesti letakkan merit diri kita setanding dengan mereka.
“Malah mungkin lebih baik daripada mereka dan saya lihat trend perwakilan lelaki, mereka menilai kita dari sudut itu dan bukannya kerana kasihan maka pilih calon wanita atau tak beri (undi) sebab calon itu wanita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika di Majlis Pengenalan Calon-Calon Pemilihan Umno Malaysia Peringkat Negeri Selangor 2023 di Shah Alam Convention Centre, malam tadi
Sementara itu, Shahaniza berkata beliau opitimis dan merasakan ada peluang yang cerah bagi tujuh calon wanita yang bertanding jawatan MKT Umno untuk diterima pada pemilihan kali ini.
Katanya, ia kerana Umno bukan sahaja memerlukan idea serta pandangan daripada golongan wanita, malah gerak kerja bersama-sama pemimpin wanita bagi menguatkan lagi perjuangan parti itu.
“Saya kira tujuh calon wanita yang menawarkan diri memiliki kekuatan dan kelebihan masing-masing yang saya kira boleh memberi kelebihan kepada Umno sekiranya mereka terpilih sebagai MKT.
“Mereka boleh jadi ‘team player’ yang baik kerana kita tahu wanita ini sifat semulajadinya adalah setia kepada parti. Itu perkara asas dan tunjang yang mesti ada pada diri pemimpin itu.
“Yang keduanya kita tahu pemimpin wanita ini komited dan buat kerja bersungguh-sungguh. Sekiranya pemimpin wanita ini diberi peluang, ia beri satu impak baharu lebih bertenaga kepada Umno,” katanya lagi.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Pusat, bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Umno Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi Umno pula diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac. – Malaysiapost