Tak ada campur tangan luar selamatkan Umno – Zahid
PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan terdapat campur tangan luar untuk menyelamatkan parti itu susulan pengecualian diberikan Menteri Dalam Negeri berhubung pemilihan parti berkenaan.
Menurutnya, usul tambahan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan telah diputuskan oleh Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 dan telah dibawa ke Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).
“Tak ada campur tangan luar walaupun ada dua pengadu yang telah mencabar usul yang dikemukakan dalam PAU 2022.
“Usul berkenaan telah diteliti oleh Pengerusi Tetap yang mengikut semua peraturan dalam perhimpunan agung dan semua fasal dalam perlembagaan (parti).
“Perlu diketahui badan tertinggi dalam Umno adalah PAU. Apabila PAU telah membuat keputusan dan ia diterima oleh lebih 95 peratus perwakilan.
“Namun, kita masih menyantuni aduan dibuat dan kita juga terus memberikan maklum balas. Ini bukan soal campur tangan luar tapi ini suatu klausa dalam akta pertubuhan,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen hari ini.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan keputusannya memberikan pengecualian buat Umno berhubung isu dua jawatan parti tidak dipertandingkan.
Beliau dilaporkan berkata, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati boleh mencabarnya di mahkamah.
Mengenai pandangan bekas pemimpin dalam Umno yang merasakan ada sesuatu tidak kena terhadap perkembangan itu, Ahmad Zahid menganggap ia adalah pandangan peribadi.
“Saya berasakan pandangan itu adalah pandangan peribadi di mana perkara 70 dalam akta pertubuhan itu adalah akta yang diluluskan di Parlimen.
“Sebagaimana disebutkan Menteri Dalam Negeri, jika ada tidak berpuas hati dalam keputusan itu maka mereka boleh buat aduan dan membawa perkara ini ke mahkamah,” katanya. – Malaysiapost