‘Usah gentar menentang kezaliman’ – Radzi

‘Usah gentar menentang kezaliman’ – Radzi

AHLI Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin menegaskan akan terus bersoladiriti bersama Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dipanggil ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM), pagi tadi.

Radzi menerusi hantaran di Facebook, turut meminta penyokong agar terus berdoa untuk Perikatan Nasional (PN) dan khususnya buat bekas Perdana Menteri itu.

“Usah gentar menentang kezaliman! Barang diingat, kuasa, harta, pangkat dan kedudukan hanya pinjaman.

“Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya semata-mata untukMu, Ya Allah!

“Doakan segalanya dipermudahkan buat kami, khususnya Tan Sri Muhyiddin,” tulisnya dalam hantaran itu.

Terdahulu, Radzi antara ahli parlimen PN yang hadir di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya menyatakan sokongan kepada kepada Pengerusi gabungan itu.

Muhyiddin tiba di Ibu Pejabat SPRM pada jam 11.18 pagi tadi bagi memberi keterangan dipercayai berkaitan kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Turut kelihatan adalah Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Ahli Parlimen Indera Mahkota; Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Media turut melaporkan Dewan Rakyat ‘sunyi’ berikutan hanya tujuh ahli parlimen pembangkang sahaja yang hadir di persidangan Parlimen hari ini.

Walaupun punca ketidakhadiran sebahagian besar ahli parlimen PN itu tidak dapat dipastikan, tetapi ada persoalan sama ada ia berpunca daripada Muhyiddin dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM pagi tadi. – Malaysiapost

Komen