USJT Bukit Aman siasat Hadi dakwaan jatuhkan kerajaan

USJT Bukit Aman siasat Hadi dakwaan jatuhkan kerajaan

SIASATAN terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha menjatuhkan kerajaan, akan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, Pemuda Amanah Nasional dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi terhadap Ahli Parlimen Marang itu, semalam.

“Kes berkenaan akan disiasat oleh USJT Bukit Aman,” katanya lapor Bernama.

Beliau diminta mengulas perkembangan laporan polis berhubung dakwaan Presiden PAS bahawa terdapat usaha untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminol Huda dan Ketua AMK Selangor, Izuan Kasim, membuat laporan polis berhubung kenyataan Abdul Hadi yang mengakui terdapat usaha dijalankan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan.

Abdul Hadi dilaporkan berkata, tiada sesiapa pun boleh menghalang usaha PN tersebut berdasarkan sistem demokrasi diamalkan Malaysia dan ia boleh dilakukan sama ada melalui undi tidak percaya ataupun Surat Akuan Berkanun (SD). – Malaysiapost

Komen