Wang rakyat bukan untuk kegunaan parti politik – Isham Jalil

Wang rakyat bukan untuk kegunaan parti politik – Isham Jalil

MENERIMA duit timbal balas atau ‘kickback’ ke dalam akaun parti politik selepas mendapat kontrak rundingan terus serta membuat sumbangan politik susulan mendapat pelepasan cukai adalah salah guna kuasa dan rasuah.

Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil, berkata perkara itu berlaku dalam kes membabitkan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung projek Jana Wibawa dan pelepasan cukai Yayasan Al-Bukhary.

Menurutnya, ia kerana sumber wang berkenaan adalah wang rakyat yang tidak boleh diguna untuk kegunaan parti politik.

“Baru sekejap tadi Muhyiddin kata dia tidak bersalah sebab yang meluluskan projek Jana Wibawa untuk kontraktor Bumiputera itu bukan dia tetapi Menteri Kewangan.

“Dia juga kata duit yang masuk ke dalam akaun partinya Bersatu itu (oleh kontraktor-kontraktor ini) juga tidak salah sebab itu kononnya adalah sumbangan politik.

“Dan bila kawan dia (Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary) diberi pengecualian cukai oleh kerajaan dan selepas itu kawan dia pun “derma” masuk ke dalam akaun parti dia, itu pun bagi dia tidak salah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Muhyiddin berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dihadapinya ketika ini.

Isham berkata, kenyataan Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu seolah-olah menggambarkan sumbangan yang diterima parti politiknya adalah suci dan sedekah.

“Jika ada kontraktor dapat kontrak rundingan terus daripada senarai yang diberi oleh Pejabat Perdana Menteri dan kemudian kontraktor ini memasukkan duit timbal balas atau “kickback” ke dalam akaun parti politik Tan Sri dan kemudian Tan Sri dan rakan-rakan guna duit ini untuk kempen pilihan raya, itu adalah salah guna kuasa dan rasuah.

“Sebab sumber wang ini adalah wang rakyat yang akhirnya masuk ke dalam akaun parti yang dikawal oleh Tan Sri.

“Wang rakyat ini tidak boleh diguna untuk kegunaan parti politik Tan Sri, sebab rakyat bayar cukai bukan untuk Tan Sri beri projek bagi meraih sumbangan kepada parti Tan Sri untuk belanja pilihan raya untuk parti Tan Sri.

“Apabila ini berlaku ia adalah salah guna kuasa dan rasuah,” katanya.

Menurutnya, perkara sama juga membabitkan sumbangan daripada Syed Mokhtar yang yayasan naungannya diberi pengecualian cukai oleh kerajaan ketika Muhyiddin berkuasa.

“Duit cukai ini sepatutnya diterima dan digunakan oleh kerajaan untuk bantu rakyat, bukan dikecualikan dan diterima oleh parti Tan Sri untuk kempen parti politik Tan Sri untuk berbelanja mewah semasa pilihan raya ketika rakyat sedang susah selepas wabak Covid-19.

“Apa-apa pun boleh jawab semua ini di mahkamah dengan saksi dan di hadapan hakim seperti orang lain. Ahli politik lain sudah bertahun naik turun mahkamah. Jangan Tan Sri mengelak pula,” katanya. – Malaysiapost

Komen