38,134 mangsa banjir di Batu Pahat
JUMLAH mangsa banjir di Batu Pahat, Johor mencecah 38,134 orang setakat jam 8 pagi ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata mangsa banjir di Batu Pahat yang terdiri daripada 10,682 keluarga kini ditempatkan di 111 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah itu.
Katanya, jumlah mangsa banjir di enam daerah terjejas pula kini mencecah 45,218 orang (12,781 keluarga) pagi ini, berbanding 43,856 orang (12,620 keluarga) pada jam 8 malam tadi.
“Sebanyak enam daerah yang masih terjejas setakat ini iaitu Batu Pahat, Muar, Tangkak, Segamat, Mersing dan Kluang.
“Sehingga jam 8 pagi ini, Batu Pahat sahaja yang masih mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir, empat yang lain menurun, manakala sebuah daerah kekal.
“Di Muar, jumlah mangsa banjir menurun kepada 3,661 orang (1,091 keluarga) di 19 PPS dan Tangkak pula kini menempatkan 2,073 orang (675 keluarga) di 19 PPS.
“Segamat pula kini tinggal 1,045 mangsa banjir (262 keluarga) di 20 PPS dan Kluang berkurang kepada 113 orang (24 keluarga) di dua PPS.
“Mersing kekal dengan jumlah mangsa banjir 219 orang (53 keluarga) yang ditempatkan di tiga PPS,” katanya yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor.
Azmi berkata, terdapat sebuah PPS baharu dibuka dan kini semua mangsa banjir ditempatkan di 174 PPS. – Malaysiapost