Ahmad Fadhli sindir kerajaan PH-BN seperti pisang, nampak akan ‘jatuh’ sendiri
“BUAH putik lagi, tandan nampak buruk dah,” kata Ketua Dewan Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari, membayangkan keadaan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Fadhli memuat naik gambar melihat pisang yang masih putik, tetapi tandan sudah kelihatan layu.
Walaupun tidak menujukan hantaran berkenaan kepada mana-mana pihak, namun ia dipercayai membayangkan situasi buah pisang tersebut seperti Kerajaan Perpaduan yang baharu mentadbir negara hampir lima bulan, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Nampak macam seperti jatuh sendiri ini kalau tidak ambil pun,” katanya dalam hantaran itu.
Hantaran berkenaan sekali gus mendapat reaksi pelbagai daripada netizen termasuk ada pengikut Facebooknya turut senada dengan pendapat tersebut.
“Dalam maksud YB ustaz.. menang sah jatuh sendiri sebab banyak merapu je dari buat kerja, 100 hari kosong sahaja,” kata Brashstea Kedah.
“Buah tu lagi akan cepat gugur kalau ada kera… bukankah kera memang suka jahanamkan semua yang ada depan mata,” sindir Zainurin Ramli.
Bagaimanapun, ada juga warga maya yang tidak bersetuju dengan hantaran tersebut dengan menyifatkan usaha pihak tertentu yang sengaja mahu menjatuhkan kerajaan sebagai tidak wajar.
“Insyallah.. nampak tandan, putik itu elok lagi. Tapi jangan ada ‘pengacau’. Boleh jadi manfaat kepada manusia, rezeki pada burung,” kata Zedgoden.
“Jatuh sebab buruk ke atau jatuh sebab ‘si tupai’ jahat?,” kata Abe Mad.
Baru-baru ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengakui ada ‘usaha’ sedang dijalankan Perikatan Nasional (PN) dan parti komponen di blok pembangkang untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Menurut Abdul Hadi, berdasarkan sistem demokrasi negara, perkara itu boleh dilakukan dan tiada mana-mana pihak boleh menghalang PN untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas beliau, usaha tersebut boleh dilakukan sama ada menerusi undi tidak percaya ataupun melalui Surat Akuan Berkanun (SD). – Malaysiapost