Cagaran simpanan KWSP untuk pinjaman hanya tambah beban pencarum – Armand Azha

Cagaran simpanan KWSP untuk pinjaman hanya tambah beban pencarum – Armand Azha

AHLI Dewan Negara, Senator Datuk Armand Azha Abu Hanifah berpendapat cadangan mengenai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan untuk dijadikan cagaran bagi pinjaman bank hanya akan menambah kesusahan rakyat.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, secara peribadi tidak bersetuju dengan cadangan yang dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen semalam.

Menurutnya, ketika ini rakyat masih ramai yang terkesan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara sebelum ini.

“Rakyat hari ini berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi dan keadaan ekonomi masih perlu penambahbaikan.

“Cadangan untuk cagaran simpanan KWSP bagi meminjam dengan bank, bagi saya hanya akan menyusahkan rakyat dalam jangka masa panjang dimana mereka akan dibebani dengan hutang baru.

“Sedangkan mereka yang ingin buat pengeluaran (KWSP) bersasar ini, majoritinya ingin membayar hutang-hutang yang tertunggak dan membebankan,” katanya dalam satu kenyataan.

Armand yang Ketua Pemuda Umno Bahagian Subang dan calon Ketua Pemuda Umno Malaysia bagi Pemilihan Umno 2023, menggesa supaya kerajaan memikirkan satu solusi dan bukannya mencipta masalah baru buat rakyat yang terkesan.

“Pada saya cadangan pengeluaran secara bersasar masih dilihat salah satu pilihan yang terbaik terutama bagi pencarum yang layak membuat pengeluaran.

“PMX (Perdana Menteri ke-10) saya mohon dengarlah suara hati rakyat Malaysia yang terkesan, jika tunggu formula penyelesaian Rafizi Ramli (Menteri Ekonomi), sampai ada yang kena senarai hitam, malah bankrap tunggu formula beliau.

Menurutnya, pinjaman bank bukan jalan penyelesaian tetapi akan menjadi bebanan buat pencarum KWSP di masa hadapan.

Terdahulu, Perdana Menteri semasa sesi penggulungan usul Belanjawan 2023, di Dewan Rakyat semalam, berkata kerajaan akan memperkenalkan kaedah membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman sebagai cagaran pinjaman bank.

Menurut Anwar, kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang ‘terdesak’ untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, menyifatkan kaedah cagaran simpanan KWSP kepada pencarum yang mempunyai wang dan dalam keadaan terdesak untuk pinjaman bank adalah yang terbaik. – Malaysiapost

Komen