‘Dulu Muhyiddin sendiri tak iktiraf konsep akaun politik atau derma politik’
VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mempersoalkan tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini tidak kisah mengenai ‘akaun politik’ ketika menjadi menteri dalam Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Malah katanya, ketika itu Kerajaan PH tidak mengiktiraf konsep akaun politik atau derma politik sehingga semua berkaitan perkara itu membabitkan Barisan Nasional (BN) disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dibicarakan.
“Pembelaan Tan Sri Muhyidin kepada pihak awam adalah kerana duit itu derma politik dari pihak yang tidak dikenalinya sendiri dan telah masuk ke dalam akaun parti bukan akaun sendiri.
“Lupakah Tan Sri Muhyidin semasa menjadi Menteri PH 1.0 dulu, Kerajaan PH 1.0 tidak pun menghiraukan ianya akaun parti politik, peribadi, perniagaan atau badan bukan kerajaan (NGO).
“Semuanya disita oleh SPRM dan dibicarakan. Ketika itu, Kerajaan PH 1.0 tidak mengiktiraf konsep ‘akaun politik’ atau derma politik,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, bagaimanapun tiada satu kes pun yang berjaya dimenangi kerajaan ketika itu, namun malangnya nama baik BN sudah ‘tercemar’.
“Namun, tidak ada suatu kes pun yang dimenangi oleh kerajaan. Tapi nama baik parti-parti politik BN sudah dicemarkan kerana berpuluh tindakan mendakwa kami di mahkamah.
“(Ketika itu) Tan Sri Muhyiddin sebagai Menteri dalam Kerajaan PH 1.0 tidak pun kesah tentang soal akaun politik,” katanya.
Justeru, Shahrir berpandangan bahawa sudah tiba masanya untuk mengubal Akta Dana Politik dan pembiayaan politik di Dewan Rakyat bagi mewujudkan ‘honest politics’ dan menyekat ‘dishonest power’.
“Akaun politik dan dana politik hanyalah fahaman yang tidak bertulis (‘unwritten understanding’) yang telah Tan Sri Muhyiddin dengan rakan-rakan dalam kerajaan PH 1.0 pilih untuk diketepikan,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas enam pertuduhan, membabitkan empat kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.
Bagaimanapun, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi. – Malaysiapost