Guan Eng mahu ambil tindakan undang-undang terhadap Muhyiddin

Guan Eng mahu ambil tindakan undang-undang terhadap Muhyiddin

BEKAS Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin jika bekas Perdana Menteri itu gagal buktikan kaitannya dengan pengecualian cukai terhadap Yayasan Al-Bukhary.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu telah berbohong dalam sidang akhbar selepas ditahan ditahan Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) malam tadi, dan mengaitkan keputusannya ketika menjadi Menteri Kewangan.

“Saya ingin menyatakan bahawa saya tidak mengeluarkan sebarang arahan spesifik membatalkan pengecualian cukai yang diberikan oleh kerajaan BN kepada Yayasan Albukhary yang dinaungi oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Muhyiddin mendakwa “selepas PRU14 (Pilihanraya Umum ke-14), kerajaan gabungan  PH (Pakatan Harapan) tertubuh. Menteri Kewangan daripada DAP Lim Guan Eng telah membatalkan pengecualian yang telahpun diluluskan kepada Yayasan Albukhary”, katanya dalam kenyataan, semalam.

Guan Eng berkata, kenyataan Muhyiddin tersebut tidak benar dan meminta Presiden Bersatu itu menunjukkan bukti jika betul arahan tersebut dikeluarkan olehnya.

“Ini tidak benar dan tidak tepat. Bolehkah Muhyiddin tunjuk surat di mana saya keluarkan arahan sebagai Menteri Kewangan untuk membatalkan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary?

“Sekiranya beliau gagal buat demikian, saya akan mendapatkan nasihat undang-undang terhadap pembohongan Muhyiddin yang berniat jahat ke atas saya, memandangkan ia juga membabitkan tuduhan rasuah yang akan dibicarakan di mahkamah kelak,” ujarnya.

Sebelum ini, Muhyiddin menjelaskan Yayasan Al-Bukhary menjalankan kerja-kerja amal dan kebajikan khususnya membangunkan Islam dan membantu umat Islam.

Katanya, atas semua itu yayasan terbabit diberikan kelulusan pengecualian cukai oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Katanya lagi, selepas PRU14, kerajaan gabungan PH tertubuh dan Guan Eng merupakan Menteri Kewangan daripada DAP telah membatalkan pengecualian cukai yang telah diluluskan kepada Yayasan Al-Bukhary itu.

Hari ini, Muhyiddin didakwa di mahkamah membabitkan dua kes iaitu projek Jana Wibawa dan pelepasan cukai kepada Yayasan Al-Bukhary.

Beliau akan didakwa dengan tujuh pertuduhan di Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini dan Mahkamah Shah Alam pada Isnin depan. – Malaysiapost

Komen