Idea genius jadikan simpanan KWSP sebagai cagaran pinjaman bank

Idea genius jadikan simpanan KWSP sebagai cagaran pinjaman bank

CADANGAN untuk membenarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijadikan cagaran bagi pinjaman bank oleh pencarum yang terdesak, disifatkan sebagai idea yang sangat baik dan genius.

Ahli PKR, Iswardy Morni, berkata idea itu sangat baik untuk jangka pendek dan juga jangka panjang kerana rakyat ‘dipaksa’ bayar balik untuk simpanan hari tua mereka sendiri.

Menurutnya, langkah itu juga dapat mengelakkan inflasi jika pengeluaran simpanan dibenarkan dan dikeluarkan secara serentak oleh pencarum.

“Yang keluar (simpanan) sedikit, tapi yang akan kena inflasi semua rakyat termasuk yang tak keluarkan. Bila dah inflasi Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan naik. Yang tak keluar KWSP pun akan kena tanggung kenaikan OPR.

“KWSP tak perlu cairkan aset yang sedang di labur. Mengurangkan risiko pulangan pelaburan yang kurang akan memberi kesan kepada semua pencarum. Bukan sekadar yang layak keluar sahaja,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau mengeluas mengenai cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu semasa sesi penggulungan usul Belanjawan 2023, di Dewan Rakyat semalam.

Anwar yang juga Presiden PKR, berkata kerajaan akan memperkenalkan kaedah membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman sebagai cagaran pinjaman bank.

Iswardy berkata, cadangan itu membolehkan simpanan pencarum akan tetap ada apabila pinjaman habis dibayar kerana pencarum mengganti balik dengan bayar hutang KWSP tersebut.

“Rakyat yang guna duit KWSP untuk cagar dapat dua duit. Duit yang dia pinjam, dan bayar balik duit sendiri dan duit dalam simpanan yang akan dia guna hari tua.

“Interest pinjaman tidak relevan kerana duit KWSP ada dividen. Macam ASB (Amanah Saham Bumiputera), pinjam interest empat peratus, katakan, dividen enam peratus. Jadi tiada isu interest atau kejam,” katanya.

Menurutnya, cagaran itu juga akan membuatkan pencarum yang terdesak tidak perlu berfikir banyak kali untuk mengeluarkan simpanan kerana ia adalah hutang, bukan duit ‘percuma’.

“Tapi kalau dia tak nak bayar, maka duit KWSP tersebut akan digunakan membayar hutang tersebut. Bagi yang tak nak atau tak layak keluarkan, ini bukan untuk anda nak sibuk. Yang nak keluarkan terbela nasib mereka jangka pendek dan panjang.

“Pelan jangka pendek dan panjang yang sangat baik. Kenapalah PN (Perikatan Nasional) dulu tak fikir macam ni?

“Inilah kerajaan yang mahu memikirkan soal rakyat. Bukan sekadar mahu popular dan idea populist yang akan makan diri. Sangat genius!” katanya. – Malaysiapost

Komen