Kerajaan terus digesa pertimbang pengeluaran khas KWSP

Kerajaan terus digesa pertimbang pengeluaran khas KWSP

KERAJAAN digesa untuk terus mempertimbangkan pengeluaran wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) khas seperti yang dicadangkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha membantu meringankan beban rakyat.

Gesaan itu dibuat Ketua Umno Cawangan Bahagian Bukit Bintang, Muzafar Ali Khan Mohd Sidek yang berpendapat luahan rakyat berhubung perkara itu tidak boleh dipandang remeh oleh kerajaan, memandangkan keadaan ekonomi pasca pandemik yang agak mendesak hari ini.

“Apa yang disumbangkan kerajaan sebanyak RM500 ke dalam akaun pencarum itu satu inisiatif yang baik, namun hakikatnya sebahagian bekas pencarum terdesak untuk menggunakan wang bagi kelangsungan hidup hari ini.

“Kita bimbang jika kerajaan tidak membenarkan pengeluaran KWSP mungkin buat kali terakhir, ia akan menyebabkan ada di antara pencarum yang terdesak akan meminjam ceti atau along yang hanya akan menambah masalah beban kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, beliau sendiri ada berjumpa dengan beberapa pencarum yang dibuang kerja ketika pandemik melanda, dan kini sedang berusaha untuk membangunkan semula ekonomi keluarga.

“Mereka meluahkan rasa resah dalam keadaan ekonomi yang mendesak apatah lagi, umat Islam bakal menyambut puasa, hari raya dan pembukaan sekolah dalam tempoh terdekat ini.

“Sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP ini, maka sudah tentu ia dapat banyak membantu mereka meringankan beban kewangan yang ditanggung mereka hari ini,” katanya.

Muzafar yang juga calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada Pemilihan Umno 2023 pada 18 Mac ini, berkata sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP kali ini, ia perlu dibuat secara bersasar untuk golongan yang memerlukan sahaja.

“Saya yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempertimbangkan perkara ini. Justeru, merupakan hasrat rakyat yang kini terdesak dari sudut kewangan bagi meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Saya yakin ia bukan satu masalah besar memandangkan dua Perdana Menteri sebelum ini, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga telah membenarkan pengeluaran KWSP bagi meringankan beban pencarum yang terkesan akibat pandemik yang melanda negara sebelum ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen