Laungan ‘hidup PN’ sambut ketibaan Muhyiddin
BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebentar tadi bagi pertuduhan membabitkan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram (AMLA).
Ketibaan Presiden Bersatu itu disambut dengan laungan ‘hidup PN’ oleh barisan penyokong parti itu yang berada seawal jam 7 pagi di perkarangan mahkamah berkenaan.
Bagi kes salah guna kuasa, pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, sementara AMLA bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA).
Ahli Parlimen Pagoh itu turut diiringi oleh penyokong serta beberapa Ahli Parlimen dan pemimpin PN kira-kira jam 8.40 pagi tadi.
Antaranya adalah Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Ahli Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Difahamkan, petugas media telah mula berhimpun sekitar awal jam 7.30 pagi bagi menanti kehadiran Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Muhyiddin akan menjadi bekas Perdana Menteri kedua dituduh atas pertuduhan mengikut peruntukan seksyen sama di mahkamah, selepas Datuk Seri Najib Razak.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan berita mengenai pendakwaan yang dihadapi oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN) semalam.
Malam tadi, Muhyiddin menegaskan bahawa beliau tidak bersalah dan tujuh pertuduhan yang dikenakan ke atasnya adalah bertujuan untuk memalukannya.
Beliau berkata, pendakwaan terpilih ke atas dirinya ini adalah satu tindakan politik berniat jahat yang bertujuan untuk melumpuhkan dan menghancurkan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN). – Malaysiapost