Lelaki maut kereta langgar lori balak

Lelaki maut kereta langgar lori balak

SEORANG lelaki maut selepas kereta dinaiki melanggar sebuah lori balakdi Jalan Temerloh-Karak, dekat Mentakab, Pahang, awal pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan maut itu jam 2.22 pagi.

Katanya, kemalangan itu membabitkan kereta jenis Perodua MyVi dan lori membawa muatan kayu balak.

“Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab bersama seorang pegawai dan empat anggota termasuk anggota bomba sukarela terbabit dalam operasi menyelamatkan mangsa.

“Seorang daripada mangsa sempat keluar dari kereta itu manakala seorang lagi tersepit dan pasukan bomba terpaksa menggunakan peralatan menyelamat khas bagi mengeluarkan mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulfadli berkata, mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang tiba di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tujuan siasatan lanjut. – Malaysiapost

Gambar: Ihsan Bomba Pahang

Komen