Muhyiddin bakal hadapi satu pertuduhan lagi Isnin ini
PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka menghadapi satu lagi pertuduhan mahkamah di Shah Alam, Isnin ini.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata pertuduhan itu juga berkaitan rasuah.
Ahmad Faisal yang juga bekas Ahli Parlimen Tambun berkata, pertuduhan terhadap Muhyiddin hari ini sebagai peristiwa yang menyedihkan bagi negara.
Beliau menyifatkan bekas Perdana Menteri itu sebagai seorang pemimpin yang berkorban untuk negara, dimalukan dengan pendakwaan di mahkamah.
“Jika seorang negarawan boleh diperlaku sedemikian, bagaimana pula dengan nasib rakyat,” katanya kepada media di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Hari ini, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen atas enam pertuduhan, membabitkan empat kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.
Bagaimanapun, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.
Pendakwaan terbabit menjadikan beliau sebagai bekas perdana menteri kedua didakwa di mahkamah atas kesalahan menerima rasuah dan pengubahan haram selepas Datuk Seri Najib Razak. – Malaysiapost