Muhyiddin didakwa di mahkamah pagi ini

Muhyiddin didakwa di mahkamah pagi ini

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa tujuh pertuduhan membabitkan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram (AMLA) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pagi ini.

Bagi kes salah guna kuasa, pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, sementara AMLA bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA).

Muhyiddin akan menjadi bekas Perdana Menteri kedua dituduh atas pertuduhan mengikut peruntukan seksyen sama di mahkamah, selepas Datuk Seri Najib Razak.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan berita mengenai pendakwaan yang dihadapi oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu pada Khamis.

Muhyiddin tiba di Ibu Pejabat SPRM pada jam 11.18 pagi semalam bagi memberi keterangan dipercayai berkaitan kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

SPRM sebelum ini telah membekukan akaun Bersatu dan beberapa individu termasuk Ketua Penerangan parti itu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad didakwa di mahkamah berkaitan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Jana Wibawa dilaksanakan ketika pandemik Covid-19 dan ia kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada tahun 1993.

Pelaksanaannya diluluskan Jemaah Menteri pada 13 November 2020 ketika kerajaan ditadbir PN diterajui Muhyiddin.

Malam tadi, Muhyiddin menegaskan bahawa beliau tidak bersalah dan tujuh pertuduhan yang dikenakan ke atasnya adalah bertujuan untuk memalukannya.

Beliau berkata, pendakwaan terpilih ke atas dirinya ini adalah satu tindakan politik berniat jahat yang bertujuan untuk melumpuhkan dan menghancurkan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN). – Malaysiapost

Komen