Pembantu guru rugi RM30,483 ditipu tawaran kerja online
AKIBAT tertarik dengan tawaran kerja sampingan secara dalam talian, seorang pembantu guru mengalami kerugian RM30,483 selepas diperdaya dengan ejen sindiket penipuan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa berusia 29 tahun mendakwa dihubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp yang kononnya menawarkan kerja sampingan dengan melakukan ulasan berkaitan tempat menarik dan restoran.
“Suspek memberitahu setiap ulasan dibuat mangsa akan diberikan upah dalam bentuk komisen.
“Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu kemudiannya melakukan empat kali pemindahan wang ke empat akaun berbeza diberikan suspek.
“Selepas itu (membuat pindahan wang) mangsa menyedari ditipu dan membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ramli memaklumkan mangsa menggunakan wang simpanannya untuk urusan pindahan wang ke akaun diberikan suspek.
“Mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Bentong semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa kegiatan sindiket penipuan ini,” katanya. – Malaysiapost