Pemilihan kepimpinan Wanita, Pemuda dan Puteri esok akan tentukan hala tuju Umno

Pemilihan kepimpinan Wanita, Pemuda dan Puteri esok akan tentukan hala tuju Umno

PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan 11 Mac 2023 sebagai tarikh keramat bagi semua sayap-sayap parti Umno kerana akan berlangsungnya sesi pemilihan pemimpin bagi menerajui institusi Wanita, Pemuda dan Puteri.

Menurutnya, pemimpin-pemimpin berkenaan akan bersama-sama dengan beliau bagi mencorakkan hala tuju Umno pada penggal 2023-2026.

“Sesungguhnya saya amat teruja melihat ramai calon-calon khususnya wajah-wajah muda dan baharu yang menawarkan diri bagi membina semula parti kita untuk menarik jiwa-jiwa dan hari rakyat Malaysia keseluruhannya.

“Seramai 61 calon-calon Wanita, 113 calon-calon Pemuda dan 42 calon Puteri yang menawarkan diri sebagai Exco sayap-sayap di peringkat nasional.

“Ini membuktikan bahawa Umno tidak lekang dengan barisan pelapis yang tentunya semuanya berpotensi dan sentiasa melahirkan pemimpin-pemimpin baharu yang insya-Allah mampu mencorakkan Umno kembali sebagai sebuah parti yang akan terus melakukan kesinambungan perjuangan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, sebagai keluarga besar Umno, kepimpinannya perlu sama-sama membentuk dan memperkukuhkan agenda parti serta terus memperkasakan parti itu dalam slogan Umno Bangkit 2.0.

“Lakukanlah pilihan yang terbaik dikalangan yang baik-baik ini dan suburkanlah demokrasi dengan acuan Umno dan saya doakan selamat berjuang kepada seluruh perwakilan dan calon-calon sayap-sayap parti yang bertanding.

“Selamat bersidang kepada semua kepimpinan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian-Bahagian Umno seluruh negara,” katanya. – Malaysiapost

Komen