Pemuda Amanah minta Wan Saiful henti buat kenyataan liar

Pemuda Amanah minta Wan Saiful henti buat kenyataan liar

KENYATAAN Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menggelar Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pendendam dan kuku besi, adalah bersifat liar dan ‘tidak cermin diri’.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Razak Ridzuan berkata, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu dahulu dikenali sebagai pejuang ‘libertarian’ tegar yang lantang mengkritik pemimpin korup, telah berubah setelah terjun ke dunia politik partisan.

Katanya, Wan Saiful kini menjadi seorang oportunis, mabuk kuasa sehingga terjebak skandal projek program Jana Wibawa bernilai RM232 juta, selain sanggup mempertahankan Tan Sri Muhyiddin Yassin meskipun fakta kes belum dibentangkan di mahkamah.

“Sebagai seorang yang pernah beriman dengan prinsip kedaulatan undang-undang, Wan Saiful sepatutnya lebih sabar menunggu perbicaraan di mahkamah sebelum secara terburu-buru berhujah bahawa kes tersebut adalah pendakwaan politik dan menggelar Perdana Menteri dengan gelaran yang bukan-bukan.

“Wan Saiful perlu bermuhasabah dan melihat fakta bahawa Pesuruhjaya SPRM dan Peguam Negara yang menyiasat dan mendakwa Muhyiddin adalah lantikan Muhyiddin sendiri.

“Adakah Wan Saiful meragui wibawa presiden partinya sendiri dalam melantik Peguam Negara dan Pesuruhjaya SPRM, sehingga kedua-duanya begitu mudah dipergunakan oleh PM10 untuk balas dendam politik?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Wan Saiful memaklumkan sebab utama penahanan pemimpin Perikatan Nasional (PN) adalah untuk melumpuhkan gabungan itu agar tiada semak imbang dalam pentadbiran negara.

Beliau berkata, selepas dirinya dan Presiden Bersatu, tumpuan beralih kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Ujarnya, nepotisme bermaharajalela dalam kerajaan Anwar selain menyifatkan Pengerusi Pakatan Harapan itu bukan seorang reformis tetapi pendendam tua yang opportunis dan kuku besi.

Sementara itu, Razak berkata, sebagai politikus muda sedang meningkat naik, Wan Saiful harus belajar untuk bertenang dan tidak tergopoh-gapah mengeluarkan kenyataan liar.

“Jangan biarkan kes rasuah RM6.9 juta yang sedang berlangsung di mahkamah mempengaruhi emosi,” katanya. – Malaysiapost

Komen