Pendakwaan Muhyiddin bukan bermotifkan politik – Peguam Negara

Pendakwaan Muhyiddin bukan bermotifkan politik – Peguam Negara

JABATAN Peguam Negara (AGC) menegaskan bahawa keputusan untuk mengenakan pertuduhan terhadap mana-mana orang adalah berdasarkan keterangan dan fakta daripada hasil penyiasatan, dan bukan atas desakan oleh mana-mana pihak atau faktor lain.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, berkata keputusan dibuat dengan adil berdasarkan keterangan dalam kertas siasatan dan tidak memihak kepada sesiapa.

Menurutnya, ia berlandaskan teras integriti bagi memastikan mangsa, saksi, tertuduh dan orang awam memperoleh keadilan sewajarnya, selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

“AGC menafikan tohmahan terhadap wujudnya pendakwaan terpilih, bermotif politik dan penganiayaan terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan bawah mana-mana peruntukan undang-undang.

“Sekiranya terdapat keterangan dan bukti kukuh bahawa mana-mana individu telah melakukan kesalahan bawah mana-mana peruntukan undang-undang, individu tersebut akan didakwa berdasarkan peruntukan undang-undang tanpa mengira status dan latar belakang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dituduh di mahkamah, hari ini, mempersoalkan bagaimana AGC membuat keputusan untuk mendakwa dirinya lebih awal sedangkan beliau belum memberi sebarang kenyataan kepada SPRM.

Beliau yang juga Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendakwa mengetahui tindakan untuk mendakwa dirinya sudahpun diputuskan oleh kerajaan walaupun siasatan belum dilengkapkan.

Menurutnya, pendakwaan terpilih bermotifkan politik dan penganiayaan itu bertujuan melemahkan Bersatu dan PN.

Beliau mendakwa agensi penguatkuasaan digunakan sebagai alat untuk mencapai tujuan politik pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara.

Pagi tadi, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan, meliputi empat kerana menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua lagi pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan dibenarkan jamin sebanyak RM2 juta dengan dua penjamin serta diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah. – Malaysiapost

Komen