Penjadualan semula SPM 2022 bermula 16 Mac
PENJADUALAN semula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 akan dilaksanakan bermula 16 hingga 22 Mac ini.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, ia melibatkan calon yang tidak dapat menduduki peperiksaan kerana terkesan dengan banjir serta yang disahkan positif Covid-19.
KPM berkata, penjadualan semula calon yang terlibat akan diuruskan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
“Maklumat berkaitan tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan yang perlu diduduki akan dimaklumkan JPN kepada calon serta sekolah terlibat.
“Calon turut dinasihatkan untuk menghubungi talian bilik gerakan Lembaga Peperiksaan (LP) dan JPN di seluruh negara bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai penjadualan semula peperiksaan SPM 2022,” menurut kenyataan itu.
KPM berkata, pihaknya akan terus memantau situasi banjir dan persediaan logistik, kesiapsiagaan pusat peperiksaan dan pelantikan petugas peperiksaan bagi memastikan penjadualan semula peperiksaan SPM 2022 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.
Sebelum ini sebanyak 17 pusat peperiksaan di Johor, Pahang dan Sarawak dikenal pasti terjejas akibat banjir.
Seramai 431 calon terkandas dan tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang dijadualkan atau pusat peperiksaan berhampiran. – Malaysiapost