Radzi Jidin bersyukur kekal sebagai Ahli Parlimen Putrajaya
NAIB Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini yang mengekalkannya kemenangannya di Parlimen Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.
Beliau yang juga bekas Menteri Kanan Pendidikan, sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi yang telah mengundinya.
“Menerima keputusan ini dengan penuh keinsafan. Dalam apa jua perjuangan, kita ikhtiarkan yang terbaik. Selebihnya kita serahkan kepada yang Maha Esa.
“Terima kasih sekali lagi sahabat-sahabat pengundi Putrajaya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, Hakim Datuk Faizah Jamaludin membatalkan petisyen difailkan Naib Ketua Umno Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim.
Ahmad Faisal yang juga pengundi di Parlimen sama memfailkan petisyen itu pada 26 Januari lalu, mendakwa ada bayaran RM150 diberikan pihak calon Perikatan Nasional (PN) itu sebagai balasan mengundi Radzi pada PRU-15.
Beliau mendakwa, bayaran itu diserahkan pekerja PN kepada seorang lelaki dan pengundi di kawasan Parlimen sama, yang tersebar dalam kumpulan WhatsApp pada 4 Januari lalu memaklumkan pengundi luar menerima imbuhan.
Dalam keputusannya Faizah dilaporkan berkata, Ahmad Faisal gagal membuktikan wujud kegiatan rasuah membabitkan Radzi mengikut Seksyen 32 (c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Petisyen itu juga didapati defektif (cacat) kerana gagal mematuhi Peraturan 4 (1) (b) Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya.
Mahkamah turut mengarahkan kos sebanyak RM20,000 perlu dibayar Ahmad Faisal kepada Radzi.
Pada PRU-15, Radzi berjaya menewaskan penyandang selama empat penggal Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 2,310 undi. – Malaysiapost