‘Ramai musuh ingin hancurkan saya’ – Muhyiddin
“SAYA terima pertuduhan ke atas saya ini dengan sabar”, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas enam pertuduhan salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau sedar ramai musuh berusaha memusnahkan karier politiknya termasuk Bersatu.
“Saya tahu dalam dunia politik, ramai musuh yang ingin menghancurkan saya, keluarga saya dan parti saya. Lebih-lebih lagi apabila saya berhadapan dengan musuh politik yang rakus.
“Bagi saya tidak mengapa. Ini jalan perjuangan yang saya pilih. Saya tidak memilih untuk bersekongkol atau tunduk dengan desakan mereka yang batil. Saya pilih untuk tegak berdiri di atas prinsip yang saya pegang. ‘This is the price that I have to pay’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhyiddin berkata, sepanjang berkecimpung dalam bidang politik selama 50 tahun, beliau tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan, malah sentiasa aku dengan peraturan dan undang-undang.
“Saya tidak melanggar peraturan dan undang-undang dengan sewenangwenangnya. Pegawai-pegawai kerajaan yang pernah berkhidmat dengan saya pasti tahu sikap dan pendirian saya mengenai pematuhan kepada peraturan dan undang-undang,” ujarnya.
Terdahulu, Muhyiddin dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM2 juta selepas mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram.
Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas enam pertuduhan, membabitkan empat kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.
Bagaimanapun, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh menghargai sokongan daripada penyokong Perikatan Nasional (PN) dan memohon agar diberi peluang untuk membela diri melalui proses undang-undang.
Tegas Muhyiddin, beliau tidak akan mengajak penyokong turun ke jalanan untuk mempertahankan dirinya, kerana rakyat masih tersepit dengan kegawatan ekonomi akibat Covid-19.
“Rakyat sedang mengalami kesusahan hidup. Saya tidak mahu membebankan rakyat untuk membela diri saya. Kita semua mesti patuh kepada undang-undang dan pelihara keamanan negara.
“Apa yang saya harapkan hanyalah titipan doa daripada saudara dan saudari sekalian supaya saya diberikan keadilan dan kita semua dilindungi oleh Allah SWT,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, beliau berkata pasukan peguamnya akan berusaha dan berikhtiar untuk mendapatkan keadilan di mahkamah.
Pengerusi PN itu berkata, beliau menyerahkan nasibnya kepada Allah dan hakim yang adil.
“Saya yakin dengan kuasa Allah. Saya berdoa semoga Allah SWT. mengurniakan rahmah dan inayah-Nya ke atas saya dan melindungi saya dan sahabat-sahabat seperjuangan saya daripada fitnah jahat dan musibah buruk,” katanya. – Malaysiapost