Remaja dikhuatiri lemas ketika mandi pantai
SEORANG remaja lelaki berusia 15 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi bersama empat rakannya di Pantai Cempaka, dekat Kuantan, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu jam 4.30 petang.
“Berdasarkan maklumat awal, mangsa bersama empat rakan sebayanya mandi di pantai itu sebelum dihanyutkan arus deras.
“Ketika kejadian itu, empat rakan mangsa sempat menyelamatkan diri dan meminta bantuan orang awam yang berada di pantai berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Wan Mohd Zahari berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan rakannya datang ke pantai itu kira-kira jam 3.30 petang untuk berehat dan mandi sempena cuti sekolah.
“Mangsa dikenali Nazrul Aimi Shah Kamarul Bahri dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Soi, Kuantan,” katanya lagi.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa dijalankan pihak polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam, polis marin dan turut dibantu orang awam.
“Untuk operasi petang ini, kita hanya dapat melakukan rondaan di sepanjang pantai dari Pantai Cempaka hingga Pantai Sepat.
“Kita tidak dapat melakukan operasi menggunakan bot berikutan keadaan cuaca tidak mengizinkan kerana angin kencang dan ombak besar.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa akan disambung pagi esok,” katanya. – Malaysiapost