Tauliah mengajar penting dalam memelihara Islam

Tauliah mengajar penting dalam memelihara Islam

UNDANG-undang telah menetapkan seseorang yang ingin mengajar agama, hendaklah mempunyai tauliah mengajar yang dikeluarkan berdasarkan seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 pindaan 2016.

Teks khutbah Jumaat bertajuk bertajuk ‘Tauliah Mengajar, Satu Keperluan’ Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini, menegaskan tauliah Mengajar perlu melalui beberapa proses tapisan untuk melihat kelayakan, kemahiran, kemampuan dan penguasaan ilmu seseorang sebelum diberikan tauliah.

Kenapa Tauliah Mengajar suatu keperluan? Bukankah Nabi Muhammad SAW bersabda seperti yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru Radiallahuanhuma: “Sampaikanlah dariku walau satu ayat”. (Riwayat al-Bukhari).

Bukankah kita semua Pendakwah? Dalam kalangan kita juga ada kelayakan agama. Jadi kenapa perlu lagi Tauliah?

Itulah antara persoalan-persoalan yang sering ditimbulkan oleh sebahagian masyarakat apabila membicarakan keperluan tauliah mengajar.

Undang-undang telah menetapkan seseorang yang ingin mengajar agama, hendaklah mempunyai tauliah mengajar yang dikeluarkan berdasarkan seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 pindaan 2016.

Dalam konteks ini “mengajar” bermaksud menyampaikan sebarang maklumat berkaitan dengan agama Islam melalui ceramah, forum, pengkisahan, motivasi, tazkirah, pembentangan kertas kerja, kuliah, audio visual atau cara lain sebagaimana yang ditentukan oleh Jawatankuasa Tauliah.

Justeru, kepada sesiapa yang ingin mengajar agama atau diundang untuk mengajar di masjid atau surau seluruh Selangor, diingatkan untuk mohon Tauliah Mengajar. Pemohon akan melalui beberapa proses tapisan iaitu ujian penilaian fardu ain dan ujian nilai. Sekiranya lulus, pemohon akan dipanggil temu duga, seterusnya diputuskan oleh Jawatankuasa Tauliah MAIS.

Permohonan Tauliah Mengajar perlu melalui beberapa proses tapisan untuk melihat kelayakan, kemahiran, kemampuan dan penguasaan ilmu seseorang sebelum diberikan Tauliah.

Dalam hal ini, Sultan Selangor sering memberi peringatan dan menitahkan hanya mereka yang benar-benar mahir dan mempunyai pengetahuan yang luas mengenai agama Islam sahaja yang boleh diberikan Tauliah untuk mengajar atau ceramah di masjid-masjid atau surau-surau di seluruh negeri Selangor. (Titah DYMM Sultan Selangor, 18 Februari 2022, Istana Alam Shah Klang).

Adakah itu bermaksud pihak berkuasa agama menghalang kerja-kerja dakwah? Perlu ditegaskan bahawa keperluan Tauliah Mengajar bukanlah untuk menghalang atau menyusahkan seseorang yang ingin mengajar agama. Ia sebagai langkah pencegahan bagi memenuhi maqasid syariah dalam aspek memelihara agama Islam (Hifz ad Din).

Maka di sinilah keperluan Tauliah Mengajar yang antara lain untuk memastikan bahawa;

Pertama; Seseorang itu benar-benar layak dan sesuai untuk mengajar agama.

Kedua; Mengekang penyebaran ajaran atau fahaman yang menyeleweng daripada pegangan akidah Ahli Sunnah Waljamaah.

Ketiga; Mengelak sesuatu perkara yang boleh menimbulkan kontroversi dan sensitiviti dalam kalangan masyarakat.

Keempat; Mencegah mana-mana pihak yang menggunakan platform ceramah untuk menghina atau mengaibkan orang atau kumpulan tertentu.

Kelima; Memastikan pemegang Tauliah mematuhi setiap peraturan dan undang-undang yang sedang berkuatkuasa.

Perkembangan teknologi semasa memudahkan masyarakat untuk mendapatkan ilmu agama pada bila-bila masa hanya dihujung jari.

Namun, masyarakat perlu memastikan guru yang mengajar atau menyampaikan ilmu tersebut adalah individu yang dipercayai dan diyakini ilmunya bersumberkan al-Quran dan Sunnah Rasul SAW serta berpegang kepada fahaman ahli sunah wal jamaah.

Mana-mana orang yang mengajar, cuba mengajar atau menyebabkan pengajaran agama Islam tanpa tauliah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016.

Pihak JAIS kerap menerima aduan bahawa masih terdapat masjid atau surau yang mengundang penceramah tanpa tauliah. Malah penceramah yang tidak mempunyai tauliah pun tahu tentang keperluan mendapatkan tauliah di negeri Selangor ini masih terus mencuba untuk memberi ceramah di masjid dan surau tanpa tauliah.

Dan apabila kebenaran ceramah di masjid dan surau tidak diberikan atas alasan tiada mempunyai tauliah, pihak berkuasa agama dipersalahkan dan diperlekehkan kononnya menghalang usaha-usaha dakwah dilakukan di masjid dan surau. Kenapa ini boleh berlaku?. Sedangkan sehingga 31 Disember 2022, terdapat seramai 5,641 Pendakwah Bertauliah di Negeri Selangor (PBNS) telah direkodkan.

Jumlah penceramah bertauliah yang ramai ini tidak menyukarkan pihak masjid atau surau untuk memilih mana-mana penceramah bertauliah yang boleh diperoleh maklumat mereka, melalui laman sesawang Jabatan Agama Islam Selangor.

Pihak MAIS juga ingin menegaskan kepada semua Pemegang Tauliah MAIS, hendaklah pada setiap masa mematuhi undang-undang atau apa-apa arahan, larangan atau perintah yang diberikan oleh pihak berkuasa agama.

Hendaklah menggunakan Tauliah Mengajar pada situasi yang betul, bukannya untuk kepentingan dan keuntungan peribadi. Tidak menyelitkan lawak jenaka yang melampau sehingga masyarakat hanya mengingati lawak berbanding ilmu yang disampaikan. Akhirnya, masyarakat lebih tertarik kepada penceramah hanya kerana lawaknya tetapi bukan kepada ilmunya.

Pemegang Tauliah juga diingatkan supaya tidak mencampur adukkan isu agama dengan politik kepartian dan permusuhan sesama Islam, atau menyelitkan apa-apa perkara yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan benci atau penghinaan terhadap mana-mana agama, atau membangkitkan perasaan tidak suka terhadap mana-mana kerajaan, atau mengembangkan perasaan buruk sangka dan permusuhan antara beberapa kaum atau golongan penduduk di negara ini.

Sebagai Pemegang Tauliah hendaklah pada setiap masa menunjukkan akhlak yang baik bertepatan dengan apa yang diperkatakan dalam kuliahnya mahupun ceramah. Tidak berkelakuan dengan cara yang boleh mencemarkan agama Islam atau apa-apa perkara yang boleh menyebabkan tauliahnya ditarik balik.

Selain daripada itu, Pemegang Tauliah juga adalah pendukung aspirasi pihak berkuasa agama dalam mengurus Hal Ehwal Agama Islam dan pembangunan umat Islam. – Malaysiapost

Komen