Tiada campur tangan dalam siasatan Jana Wibawa – SPRM
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan tiada campur tangan mana-mana pihak dalam siasatan yang dijalankan terhadap beberapa individu berhubung program Jana Wibawa.
Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM menegaskan siasatan itu adalah inisiatif berasaskan maklumat serta bukti-bukti yang diperolehi sendiri oleh SPRM.
“Kertas-kertas siasatan yang telah dilengkapkan kemudian dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk kajian dan pertimbangan sewajarnya.
“Proses siasatan tersebut adalah bebas daripada sebarang campurtangan mana-mana pihak,” katanya.
Menurut SPRM, tomahan mengatakan siasatan suruhanjaya itu adalah di atas arahan pihak tertentu dan bermotifkan politik adalah tidak benar sama sekali serta telah menjejas imej SPRM.
Terdahulu bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang media selepas merakam percakapan di Ibu Pejabat SPRM semalam, mendakwa ada arahan daripada pihak paling berkuasa dalam pentadbiran negara supaya beliau didakwa.
Beliau yang juga Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), kemudian di dakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas enam pertuduhan dan mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.
Pertuduhan itu membabitkan empat dakwaan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.
Muhyiddin juga dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin depan. – Malaysiapost